DOSA MENUTUP AURAT Dewasa ini umat Islam di Malaysia khususnya dapat mengamalkan cara
hidup Islam yang tulen tanpa sekatan atau ancaman daripada mana-mana
pihak jika dibandingkan dengan masyarakat Islam di luar negara. Kita
sangat bersyukur iklim Islam di Malaysia terbentuk dengan sihat dan
harmoni.
Program-program keagamaan dianjur dengan besar-besaran dan dibiayai
oleh kebanyakan golongan korporat. Konsep pakaian menutup aurat
misalnya, mendapat tempat di hati masyarakat Islam sehingga fesyen
ini diangkat ke peringkat antarabangsa. Malah unsur batik juga
disinergikan ke dalam fesyen menutup aurat ini bagi mempopularkan
budaya Melayu yang kian terhakis.
Namun keadaan ini sebenarnya mengundang impak negatif yang lebih
besar jika dikaji dengan telus dan teliti. Niat sebenar untuk menutup
aurat pada mulanya adalah atas dasar syariat, tetapi makin lama
masyarakat semakin hanyut dibawa arus gaya hidup modenisasi. Tidak
hairanlah niat untuk mengamalkan syariat tadi berubah menjadi
sebaliknya.
Tunduk Kepada Syariat, Bukan Nafsu
Wanita adalah golongan yang difokuskan dalam perbincangan ini atas
sebab situasi fesyen yang lebih menekankan konsep pakaian wanita
serta definisi aurat wanita yang terlalu mudah untuk dilanggari.
Tidak dinafikan juga kepada kaum lelaki yang lebih mementingkan
penampilan daripada sekadar keperluan menutup aurat (golongan ini
digelar metroseksual) .
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Mâi'dah ayat 77:
Katakanlah: "Hai ahli kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan
(melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan
janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat
dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan
kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus"
Dalam ayat di atas Allah s.w.t. memperingatkan golongan yang beriman
(dahulunya adalah ahli kitab, sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w.)
supaya tidak berlebih-lebihan dan melampau dalam urusan beragama.
Syariat yang diturunkan kepada manusia wajib diikuti tanpa soal
bicara tetapi mestilah melalui pemahaman ilmu dalam al-Quran dan as-
Sunnah. Inilah keindahan Islam yang sebenar.
Syariat Dijenamakan
Jika dilihat situasi hari ini, konsep fesyen menutup aurat di
Malaysia khususnya, dipopularkan dengan jenama pakaian tertentu yang
mahal harganya. Malah konsep yang diperkenalkan mengambil unsur
`tutup aurat' sahaja lalu diberi nafas baru dalam industri fesyen.
Maka nilai sebenar syariat tidak dititikberatkan malah dinodai dengan
potongan badan tertentu tanpa disedari.
Firman Allah dalam surah al-A'râf ayat 31:
Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki)
masjid*1, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan*2.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.
Islam lebih menekankan persoalan pakaian yang indah dalam beribadat.
Pakaian di dalam masjid perlulah didahulukan dengan menutup aurat
seterusnya pakaian yang indah tetapi tidak melampau. Pakaian yang
menutup aurat tetapi tidak sesuai di dalam masjid haruslah dielakkan.
Pakaian yang indah tetapi tidak menutup aurat pula sangat dikecam
dalam Islam terhadap umatnya. Ini kerana persoalan aurat adalah
prioriti dalam pemakaian. Allah s.w.t. mengingatkan manusia terhadap
hukum syariat jika dilanggari:
Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan rasul-Nya dan melanggar
ketentuan-ketentuan -Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam api
neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang
menghinakan.
Heret Syariat, Kejar Hidup
Fesyen menutup aurat yang dipopularkan dewasa ini menuntut
penganutnya supaya mengikut arus perubahan semasa. Daripada jenis
fabrik yang digunakan, potongan pakaian yang `up to date', solekan
khas bagi melengkapkan penampilan, rekabentuk tas tangan yang
sedondon dengan fabrik, tema pakaian yang mengikut suasana serta
acara, jenama kasut yang mengindahkan lagi golongan Hawa ini,
hinggalah ke persoalan gaya berjalan serta `akhlak' apabila di dalam
sesuatu majlis tertentu. Hambatan persoalan inilah yang memesongkan
konsep sebenar menutup aurat itu.
Duit yang dibelanjakan bagi memenuhi tuntutan ini sangat tidak
relevan. Harga set baju kadang-kala mencecah hampir RM500. Ini belum
lagi ditambah dengan tas tangan yang sedondon, kasut yang secocok
dengan tema pakaian, gincu yang sesuai dengan suasana majlis, maskara
yang berkualiti. Kesemua ini boleh dianggarkan berjumlah hampir
RM3000++. Hambatan gaya moden inilah antara punca umat Islam kian
terpesong akhlaknya dan hilang nilai sensitif dalam mempertahankan
kesucian Islam itu sendiri. Perkara ini harus dipandang serius oleh
semua pihak serta langkah menangani wajar diambil segera.
Firman Allah dalam al-Quran:
Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak
berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di
tengah-tengah antara yang demikian.
…Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.
…Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas.
Ujian Rezeki
Walaupun sumber kewangan yang dimiliki kukuh serta melimpah-ruah,
Islam tidak sama sekali menganjurkan umatnya supaya berlebihan dalam
berbelanja tambahan pula dalam persoalan berkaitan hukum-hakam. Islam
mendidik umatnya supaya bersederhana dalam segala segi kehidupan dan
menaruh segala pengharapan kepada Allah semata-mata. Segala jenis
harta yang dimiliki adalah kepunyaan Allah s.w.t. secara mutlak.
Harta ini hanyalah amanah daripada-Nya sebagai ujian serta rezeki
kurniaan-Nya.
Firman Allah dalam al-Quran:
Makanlah di antara rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepadamu,
dan janganlah melampaui batas padanya, yang menyebabkan kemurkaan-Ku
menimpamu. Dan barangsiapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka
sesungguhnya binasalah ia.
Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba- Nya tentulah
mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa
yang dikehendaki- Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui
(keadaan) hamba-hamba- Nya lagi Maha Melihat.
Dunia Hanya Sementara
Umat Islam hari ini diancam dengan berbagai jenis `maksiat alaf
baru'. Kecanggihan teknologi maklumat menyebabkan kita semakin
mengikut arus perubahan pemikiran serta gaya hidup yang mewah.
Keadaan ini sedikit sebanyak memanjakan para pendokong dakwah Islam
terutamanya dalam menegakkan kesucian syariat Islam di Malaysia.
Perkara ini sepatutnya tidak menjadi halangan atau cabaran utama
kepada penggerak dakwah tetapi atas dasar `al-wahan', ramai antara
mereka yang lalai serta dibuai ayunan dunia fana.
Setiap umat Islam wajib memperingati sahabat-sahabat yang lain jika
mereka semakin longlai dan lemah dalam menggerakkan dakwah Islamiah.
Peringatan yang berupa nasihat mestilah disebarkan kepada semua umat
Islam supaya kesedaran dalam merungkai segala permasalahan umat kini
dapat dilakukan bersama-sama secara berkesan. Semoga kesucian syariat
Islam dapat ditegakkan tanpa bercampur-aduk dengan kebatilan.
Firman Allah dalam surah al-`Ashr:
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan
nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati
supaya menetapi kesabaran.
*1 Maksudnya: tiap-tiap akan mengerjakan sembahyang atau thawaf
keliling ka'bah atau ibadat-ibadat yang lain.
*2 Maksudnya: janganlah melampaui batas yang diperlukan oleh tubuh dan
jangan pula melampaui batas-batas makanan yang dihalalkan.
:roll: :?
Forumer™ is Voted #1 Free Forum Hosting provider
Build your own community today with the largest message board hosting company.